Antara Kelebihan Solat Sunat Duha
1. Jaminan rezeki
Allah berfirman dalam surah Al-Dhuha ayat 1-5 yang bermaksud: “Demi waktu duha. Dan malam apabila ia sunyi sepi. (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci (kepadamu) sebagaimana yang dituduh oleh kaum Musyrik.Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda”.
Waktu duha ialah waktu Allah mencurahkan kurniaan-Nya. Oleh sebab itu, bagi sesiapa yang inginkan kurniaan tersebut, maka dia perlu berhubung dengan Tuhannya melalui solat sunat Duha.
Rasulullah juga bersabda dalam sebuah hadis kudsi riwayat al-Tirmizi yang bermaksud, “Allah berfirman yang bermaksud, Wahai anak Adam! Solatlah kepada-Ku empat rakaat pada permulaan siang, nescaya akan Aku cukupkan keperluanmu pada akhir siang”.
2. Kekuatan Jasmani
Sabda nabi s.a.w. yang bermaksud: “Pada diri manusia ada 360 ruas tulang, dituntut ke atasnya untuk memberi sedekah pada setiap satu daripada ruas tersebut. Para sahabat bertanya: Siapakah yang berdaya melakukannya wahai Rasulullah?. Lalu baginda bersabda: Boleh juga dilakukan dengan menghilangkan halangan di jalan raya, kalau tidak dapat dilakukan maka dengan melakukan dua rakaat Solat Dhuha memadai baginya”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).
Abu Hurairah memberitahu: “Rasulullah s.a.w. berpesan kepadaku dengan tiga perkara agar jangan ditinggalkan selama hidupku; puasa tiga hari setiap bulan, Solat Sunat Dhuha dan Solat Witir sebelum tidur”.